Sign In

Membayar Caruman Pekerja



Apakah yang perlu awda lakukan sebagai majikan?


Majikan adalah mana-mana individu, syarikat, pertubuhan, badan berkanun atau korporasi yang memberikan gaji kepada pekerja di bawah perkhidmatan berkontrak atau perintisan.

Paying TAP_Feb2019_Malay.jpg


1. Mendaftar sebagai Majikan


Bermula tahun 2017, sebaik saja awda mendaftar perniagaan awda dengan Pendaftar Nama-Nama Syarikat dan Perniagaan (ROCBN) secara online di www.roc.gov.bn, awda akan didaftarkan secara automatik sebagai majikan ke TAP.

Adalah penting bagi Majikan untuk memberikan nombor telefon dan emel awda apabila mendaftar dengan pihak ROCBN. TAP akan memberikan surat aluan, Sijil Pendaftaran Majikan dan kata laluan bagi perkhidmatan online TAP, e-Amanah.

Awda boleh daftar masuk ke e-Amanah di www.tap.com.bn seterusnya mendaftarkan pekerja-pekerja awda secara online.

Jika awda tidak didaftarkan secara automatik sebagai Majikan, awda boleh mendaftar secara online di www.tap.com.bn dan menghantar borang yang telah ditandatangani bersama dokumen-dokumen sokongan melalui email di register@tap.com.bn


2. Mendaftar Pekerja


Syarat-syarat kelayakan bagi pekerja adalah:

  • Warga Negara atau Penduduk Tetap Negara Brunei Darussalam
  • Umur:

Bagi TAP, berumur dibawah 55 tahun

Bagi SCP, berumur diantara 18 hingga 60 tahun

  • Bekerja di sektor Kerajaan ataupun Swasta iaitu sebagai pekerja tetap, sementara, kontrak, pekerja dalam percubaan atau Pengarah yang menerima gaji
  • Bagi SCP, tidak menerima Pencen Perkhidmatan daripada Kerajaan

Langkah 1: Daftar masuk ke e-Amanah di www.tap.com.bn. Pilih 'Senarai Pekerja' dan tekan 'Tambah Pekerja'.

Langkah 2: Pilih 'Jenis Ahli'. Isi dan lengkapkan keterangan pekerja awda.

Langkah 3: e-Mel salinan borang pendaftaran yang telah ditandatangani dan salinan Kad Pengenalan pekerja awda ke TAP di register@tap.com.bn atau register2@tap.com.bn


3. Membayar Caruman


Sebagai majikan, awda perlu membayar caruman bulanan TAP dan SCP setiap bulan sebelum hari ke 15 pada bulan berikutnya.

Awda boleh membayar caruman secara online melalui e-Amanah di www.tap.com.bn

  • Semua pengiraan caruman telah dikirakan untuk kemudahan Majikan dan tersedia di dalam Buku Panduan Kadar Caruman.
  • Kalkulator Caruman juga terdapat di dalam aplikasi TAP Brunei untuk membantu majikan mengenal pasti jumlah TAP dan SCP yang perlu dibayar.

Bayaran caruman secara online:

Langkah 1: Daftar masuk ke e-Amanah di www.tap.com.bn, tekan 'e-Pembayaran' dan tekan 'One Payment'

Langkah 2: Muat turun templat CSV dan isi butiran yang diperlukan. Muat naik butiran caruman pekerja awda, pastikan semua keterangan dan jumlahnya betul. Apabila berjaya dimuat naik, pilih 'Submit' untuk meneruskan pembayaran.

Langkah 3:  Buat pembayaran menggunakan kaedah pembayaran yang awda inginkan. Sebaik sahaja awda berjaya membuat pembayaran, masukkan nombor rujukan pembayaran di 'No Pembayaran ID' di halaman e-Amanah Satu Bayaran.

Setelah pembayaran caruman berjaya, nombor rujukan akan dihasilkan untuk awda.


4. Mengemaskini Maklumat


Adalah penting untuk mengemaskini maklumat syarikat dan pekerja awda untuk memastikan pembayaran caruman yang berjaya. Pastikan alamat dan e-mel awda adalah yang terkini untuk menerima persuratan daripada TAP.

Untuk maklumat lanjut mengenai garispandu bagi membayar caruman pekerja, awda boleh memuat turun aplikasi TAP Brunei di Apple Store atau Google Store. TAP juga menjalankan bengkel mengenai penggunaan E-Amanah setiap bulan atau lawati mana-mana cawangan TAP bagi mendapatkan bimbingan melalui e-Amanah Pit Stop.