Sign In

Pindah Milik Tanah

 
Rate this (5 Votes)


Sekiranya awda berhasrat untuk membeli hartanah komersil atau tanah persendirian, awda mungkin ingin mendapatkan perkhidmatan peguam untuk membantu awda menguruskan dokumentasi undang-undang yang diperlukan dan bagi melindungi hak perniagaan awda. Sekiranya awda memohon kemudahan pembiayaan untuk membiayai pembelian hartanah, bank awda akan menetapkan peguam untuk menyediakan dokumen sekuriti yang diperlukan.


 

Langkah 1: Memeriksa maklumat berkaitan tanah (encumbrances)

 

Peguam yang awda tugaskan akan melakukan pencarian tanah dan pemeriksaan kemuflisan di Jabatan Tanah. Ini adalah untuk memastikan bahawa tanah yang ingin dibeli adalah bebas daripada bebanan sebelum meneruskan penyediaan dokumen undang-undang, seperti Perjanjian Jual Beli.

Ini dapat dilakukan dalam masa sehari dengan caj nominal sebanyak BND $ 1.

 

Langkah 2: Hantar Permohonan Pindah Milik Tanah secara online melalui LARIS

 

Seterusnya peguam yang awda tugaskan perlu mengisi borang permohonan secara online dan memuat naik dokumen yang diperlukan melalui LARIS (Sistem Maklumat Permohonan dan Pendaftaran Tanah).

Jika awda berhasrat untuk membeli tanah yang telah dibangunkan bangunan, peguam awda perlu menghadapkan dokumen tambahan bagi tujuan penaksiran.

Jabatan Tanah kemudian akan memproses permohonan awda untuk mendapatkan kebenaran dari Pihak Berkuasa Atasan, yang akan mengambil masa kira-kira 2 ke 3 bulan.


Langkah 3: Menandatangani Memorandum Pemindahan

Setelah permohonan telah diterima oleh Jabatan Tanah, pemohon boleh datang ke Jabatan Tanah untuk menandatangani Memorandum of Transfer (MOT) dalam masa 3 hari selepas menghadapkan permohonan yang lengkap. Pemohon yang gagal menandatangani MOT dalam tempoh 21 hari selepas permohonan mereka diterima oleh Jabatan Tanah tidak akan diproses lagi.


Langkah 4: Pembayaran Cukai Setem

 

Setelah permohanan pindah milik tanah diluluskan, Jabatan Tanah akan memaklumkan jumlah cukai setem yang perlu dibayar dan juga tarikh untuk membuat pembayaran di Jabatan Tanah.

Jumlah cukai setem yang dikenakan adalah 0.6% daripada nilai hartanah.

Awda dikehendaki mendaftar di Kaunter Pendaftaran dengan bayaran BND $ 1 sebelum awda membuat pembayaran cukai setem.

 

Langkah 5: Mengambil Geran Tanah

 

Setelah cukai setem dibayar, Jabatan Tanah akan mendaftarkan awda sebagai pemilik tanah baru di Bahagian Pendaftaran Tanah dan akan mengeluarkan Geran Tanah, sebuah dokumen undang-undang yang menyatakan pemilik tanah tersebut.

Ini akan mengambil masa kira-kira 5 hari. Peguam awda akan dimaklumkan untuk mengambil Geran Tanah tersebut di Jabatan Tanah.