Sign In

Mendapatkan Pekerja


 
Rate this (1 Vote)

Rangka Kerja Kecekapan Industri yang diusahakan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam telah membantu membangunkan tenaga pekerja yang kompeten. Peniaga boleh mendaftar dengan JobCentre Brunei di www.jobcentrebrunei.gov.bn untuk mengiklankan jawatan kosong. Selepas 2 minggu, jika tidak ada calon tempatan yang sesuai, perniagaan yang ingin mendapatkan pekerja asing boleh meneruskan permohonan ke Jabatan Buruh untuk memohon Lesen Pekerja Asing.

 

Mendapatkan pekerja tempatan:

 

 

Langkah 1: Layari www.jobcentrebrunei.gov.bn


Majikan boleh melayari laman web JobCentre Brunei di www.jobcentrebrunei.gov.bn untuk mendaftar perniagaan atau syarikat mereka menggunakan nombor ROCBN mereka.


Langkah 2: Log masuk 'online'

 

Apabila menerima kata laluan, majikan kemudiannya boleh log masuk secara online untuk melengkapkan profil dan butiran syarikat mereka.

 

Langkah 3: Siar Iklan Jawatan Kosong


Majikan kemudiannya boleh menyiarkan maklumat mengenai jawatan kosong yang ada di syarikat mereka. 

Langkah 4: 'Job matching' dan temu duga

 

JobCentre Brunei akan membantu melaksanakan ‘job matching’ di antara majikan dan pencari pekerja serta mengongsikan senarai pencari kerja yang aktif untuk ditemuduga. 



Mendapatkan pekerja asing:


Daftar kekosongan dengan JobCentre Brunei sebelum memohon Lesen Pekerja Asing

 

Labour_JCB_SEPT 2018 (latest)_KY.jpg

  

Langkah 1: Iklankan jawatan kosong di JobCentre Brunei

Sebelum sebuah syarikat boleh memohon Lesen Pekerja Asing, syarikat terlebih dahulu dikehendaki untuk mendaftar di JobCentre Brunei untuk mengiklankan kekosongan mereka sekurang-kurangnya selama 2 minggu. 


Langkah 2: Proses merekrut


Sekiranya ada permohonan dari pencari kerja tempatan, syarikat mempunyai tempoh 30 hari untuk meneruskan prosedur pengrekrutan, mengadakan temubual dan memilih calon yang sesuai. Syarikat boleh melihat dan meneliti senarai pemohon jawatan kosong untuk ditemubual dan juga boleh memohon senarai "talent pool" daripada JobCentre Brunei iaitu senarai pencari perkerjaan dengan keperluan yang lebih spesifik seperti pengalaman dan latar belakang pendidikan.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada permohonan yang diterima dari pencari kerja tempatan dalam tempoh 2 minggu, syarikat hendaklah memuat turun Borang Permohonan Surat Kelulusan (Clearance Letter Application form) di www.jobcentrebrunei.gov.bn, tekan Information Tab, tekan Download, dan seterusnya tekan Link 2 dan Link 3 untuk mengakses borang tersebut.

Hantar permohonan ke JobCentre Brunei melalui kaunter atau melalui emel di jobcentrebrunei@memi.gov.bn.

Surat kelulusan (Clearance Letter) akan dikeluarkan kepada syarikat dalam masa 3 hari.*

*Pengeluaran surat kelulusan adalah tertakluk kepada analisis ke atas ketekunan usaha syarikat dalam aktiviti pengambilan pekerja tempatan.


Langkah 3: Kebenaran khas yang lain (jika diperlukan)


Bergantung kepada jenis perniagaan, syarikat mungkin memerlukan lesen dan kebenaran khas daripada agensi Kerajaan yang berkaitan sebelum syarikat boleh memohon Lesen Pekerja Asing. Layari bahagian Business Licenses & Approval bagi mengetahui jika ianya diperlukan bagi perniagaan awda.

Jika tidak ada sebarang lesen atau kebenaran khas diperlukan, awda boleh meneruskan permohonan ke Jabatan Buruh untuk memohon Lesen Pekerja Asing.



Memohon Lesen Perkerja Asing:


 Labour 2.jpg


Langkah 1: Memohon Lesen Pekerja Asing

 

Semua permohonan baru mesti dihadapkan melalui ejen pekerjaan berdaftar sebagai wakil majikan yang memohon lesen.

Permohonan Lesen Pekerja Asing hendaklah dihadapkan ke Jabatan Buruh berserta dengan borang pengesahan alamat dan semua dokumen sokongan yang diperlukan. Sila klik borang di bawah ini untuk mengetahui senarai dokumen-dokumen yang diperlukan:

Selepas penghantaran permohonan, resit akan dikeluarkan menyatakan tarikh untuk mengambil Lesen Pekerja Asing yang telah diluluskan. Tempoh mendapatkan Lesen Pekerja Asing adalah dalam masa 7 hari bekerja (18 hari bekerja untuk permohonan yang berkaitan dengan industri pembinaan).

 

Pembayaran Deposit Sekuriti

 

Selepas Lesen diluluskan, pemohon dikehendaki membuat bayaran wang deposit sekuriti. Pembayaran diterima dalam bentuk wang tunai, Jaminan Banker atau Jaminan Insurans / Takaful Pekerja Asing (JITPA).


Langkah 2: Memohon Visa

Pemohon kini boleh terus ke Jabatan Imigresen & Pendaftaran Negara untuk mengemukakan permohonan Visa Pekerja Asing, yang dijangka diluluskan dalam masa 3-5 hari bekerja. Dokumen yang diperlukan termasuk:

  • Surat permohonan daripada Majikan
  • Borang Permohonan Visa (rakyat Malaysia & Singapura dikecualikan)
  • Borang 23
  • 2 salinan foto bersaiz pasport
  • Salinan kad pengenalan (untuk rakyat Malaysia atau Singapura)
  • Lesen Pekerja Asing yang diluluskan (asal & salinan)
  • Perintah Kerja dari Jabatan Buruh
  • Salinan Kad   Wakil bagi   wakil  Agensi Pekerjaan   yang  menguruskan permohonan

Langkah 3: Pemeriksaan Kesihatan

 

Setelah mendapatkan Visa dan setelah Pekerja Asing berkenaan tiba di Negara Brunei Darussalam, pekerja asing dikehendaki ke Kementerian Kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, yang biasanya mengambil masa di antara satu hingga dua minggu.


Langkah 4: Memohon Pas Kerja dan Kad Pengenalan Hijau

 

Apabila menandatangani kontrak pekerjaan mereka, pemohon kini boleh kembali ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara untuk memohon pas kerja. Ini dijangka mengambil masa 3-5 hari untuk diluluskan. Dokumen yang diperlukan adalah sama seperti dokumen yang diperlukan bagi permohonan Visa.
 

Dengan pas kerja yang diluluskan, pemohon kini boleh terus memohon kad pengenalan hijau. Dokumen yang diperlukan adalah:

  • Borang Permohonan Kad Pengenalan
  • Dokumen Perjalanan yang mengandungi halaman foto dan Pas Kerja yang diluluskan dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Negara (asal & salinan)


Pemeriksaan Mandatori

Pemeriksaan mandatori akan diadakan dalam masa 3-6 bulan selepas lesen diluluskan. Pemeriksaan ini adalah mandatori bagi semua industri kecuali industri Pembinaan di mana pemeriksaan akan dijalankan sebelum dan selepas lesen diluluskan.

Pemeriksaan dikendalikan untuk memastikan semua pekerja asing di Brunei bekerja dengan tujuan yang dibenarkan.