Sign In

Pajakan Tanah Persendirian

 

Jika awda berhasrat untuk membeli hartanah komersil atau persendirian, awda boleh mendapatkan perkhidmatan peguam bagi membantu awda menguruskan dokumentasi undang-undang yang diperlukan dan juga untuk melindungi hak perniagaan awda.

Sekiranya awda memohon kemudahan pembiayaan untuk pembelian hartanah, bank awda akan menetapkan peguam untuk menyediakan dokumen yang diperlukan.



 

Langkah 1: Memeriksa maklumat berkaitan tanah (encumbrances)

 

Peguam yang awda lantik akan membuat pencarian tanah dan memeriksa maklumat kemuflisan di Jabatan Tanah. Ini untuk memastikan hartanah ingin dibeli adalah bebas daripada sebarang bebanan (encumbrance) sebelum meneruskan penyediaan dokumen undang-undang seperti Perjanjian Jual Beli.

Ini dapat diselesaikan dalam tempoh sehari dan akan dikenakan caj sebanyak BND $1.

 

Langkah 2: Membuat pembayaran cukai setem

 

Setelah pencarian maklumat dilakukan, pemohon atau peguam yang dilantik perlu membayar cukai setem di kaunter Unit Kewangan di Pejabat Tanah Daerah.

Jumlah cukai setem adalah berdasarkan harga hartanah yang dinyatakan di dalam Perjanjian Jual Beli.

Kaedah pengiraan cukai setem boleh dirujuk di dalam Jadual Pertama Perkara 44 Akta Setem (Cap 34).


Langkah 3: Menghadapkan permohonan Pajakan Tanah Persendirian secara online melalui LARIS

Seterusnya, peguam awda perlu melengkapkan borang permohonan secara online dan menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan melalui LARIS (Sistem Maklumat Permohonan dan Pendaftaran Tanah).

Jabatan Tanah kemudian akan memproses permohonan Pajakan Tanah Persendirian awda untuk mendapatkan kebenaran dari Pihak Berkuasa Atasan, yang akan mengambil masa kira-kira 3 - 6 bulan.


Langkah 4: Menerima surat pemberitahuan tentang kelulusan permohonan

 

Setelah permohonan awda diluluskan, peguam awda akan dimaklumkan melalui surat untuk menghadapkan Geran Tanah (title deed) dan salinan asli Perjanjian Pajakan ke Seksyen Pendaftaran, Jabatan Tanah bagi proses pendaftaran.

 

Langkah 5: Menghadapkan Geran Tanah dan salinan asli Perjanjian Pajakan bagi pendaftaran

 

Peguam awda perlu menyerahkan Garan Tanah dan salinan asli Perjanjian Pajakan ke Bahagian Pendaftaran, Jabatan Tanah untuk proses pendaftaran.

Ini boleh dilakukan dalam tempoh sehari dan akan dikenakan caj sebanyak BND $ 6 untuk yuran pendaftaran. 


Langkah 6: Menerima pemberitahuan melalui SMS bahawa pajakan telah didaftarkan dan mengambil Geran Tanah

 

Setelah proses pendaftaran selesai, peguam awda akan diberitahu melalui SMS untuk mengambil Geran Tanah yang baru di Bahagian Pendaftaran, Jabatan Tanah.

Proses pendaftaran dan pemberitahuan melalui SMS ini akan mengambil tempoh kira-kira 3 hari waktu bekerja.